Tuesday, May 13, 2014

Sejarah Asal Usul Daerah Putatan

Sejarah 1
 
Umum sudah mengetahui bahawa Sg.Putatan (mati) yang mengalir di tengah Kampung Hulu Putatan dan Kampung Seberang Putatan, Kampung Teguli dan Kampung Tobongon sehingga ke kualanya, telah lama dimatikan puncanya di Kampung Terawi. Aliran sungai ini akhirnya menjadi sempit dan dipenuhi semak dan ada juga yang telah ditimbus dengan tanah terutamanya di Kampung Hulu Putatan dan di Kampung Terawi. Antara sebab punca aliran Sg.Putatan (mati) dimatikan adalah untuk mengelakkan kampung-kampung yang berdekatan dengan sungai tersebut menghadapi masalah banjir. Untuk suatu ketika, sekatan ini agak berkesan sehinggalah terjadinya Ribut Greg yang mana air dari Sg.Petagas telah naik melimpah ke sawah padi dan mengalir ke arah Sg.Putatan (mati) untuk mengalir ke arah laut. Namun, disebabkan aliran Sg.Putatan (mati) telah disekat, maka banjir pun berlaku di kampung-kampung yang terletak berdekatan dengan Sg.Putatan (mati).

Untuk mengelak kejadian seumpamanya berlaku, aliran sungai baru dibuat mulai daripada Kampung Terawi hingga ke kuala Sg.Putatan (lokasi sekarang ini). Namun aliran ini masih tertutup puncanya di Kampung Terawi atas sebab-sebab masalah teknikal seperti bayaran pampasan ke atas tanah yang digunakan oleh Kerajaan Sabah untuk mengubah aliran Sg.Putatan (mati). Aliran sungai yang melalui kampung-kampung berdekatan dengan sungai pada masa kini semakin cetek, tersekat dan tertimbus serta bersemak.
Kepada generasi baru yang tinggal di kampung-kampung berdekatan dengan Sg.Putatan (mati), diketahui tidak ramai yang mengetahui asal-usul aliran sungai ini. Hanya mereka yang bertanya orang-orang tua boleh mengetahui kisahnya. Generasi sekarang yang berumur sekurang-kurangnya lewat 40an ke atas mungkin masih ingat akan Sg.Putatan (mati) pada masa itu menyumbang kepada urusan ekonomi kampung seperti nelayan dan membawa barang-barang jualan ke Pekan Putatan (baru).
Namun kisah aliran Sg.Putatan (mati) tidak terhenti di sini sahaja. Mari kita berjumpa sekurang-kurangnya mereka yang berumur lewat 40an dan bertanya samada mereka pernah bersekolah berjalan kaki ke Sekolah Rendah Buit Hill dari Pekan Putatan (baru) atau kampung-kampung diantaranya. Tentunya mereka ini pernah melalui sebuah jambatan kayu yang terletak antara Bukit Kalam (tempat Memorial Tun Mustapha) dan Kedai Gumpita. Jambatan ini telah tiada setelah jalanraya Putatan-Ramayah dibuat serta diluruskan selekohnya di sebalik Bukit Kalam. Lokasi asal jambatan kayu ini berada di grid GPS 5°53’52″N, 116°3’42″E. Jambatan kayu inilah diantara jambatan awal yang menyeberangi Sg.Putatan yang asal. Mengikut cerita orang-orang tua, sungai yang mengalir antara Kampung Terawi ke kuala Sg.Putatan (sekarang ini) melalui Kampung Hulu Putatan dinamakan Sg.Terawi, yang pada asalnya hanyalah cetek sehinggalah aliran Sg.Putatan (asal) disekat. Oleh kerana ramai penduduk mengenali Sg.Putatan (mati) lebih daripada Sg.Terawi, maka nama Sg.Putatan (mati) lebih “melekat” nama sungainya hingga sekarang. Mungkin juga disebabkan oleh kedudukan Pekan Putatan (baru) yang telah berpindah daripada lokasi asalnya di grid GPS 5°54’30″N , 116°2’47″E.
Mari kita bermula di Kampung Terawi untuk mendapatkan lokasi grid GPS punca Sg.Putatan (asal) iaitu di 5°53’51″N , 116°4’38″E.  Setelah mengalir berliku-liku melalui Kampung Terawi dari arah timur, anda akan sampai ke cabang sungai di grid GPS 5°53’48″N , 116°3’54″E. Mengikut cerita orang-orang tua, cabang sungai ini adalah cabang Sg.Terawi dan Sg.Putatan (asal). Kita ikut aliran Sg.Putatan (asal) daripada cabang ini ke arah jambatan kayu yang saya nyatakan di atas. Jarak antara jambatan kayu dan Sg.Petagas adalah lebihkurang 1.5km. Diantara dua lokasi ini adalah pada asalnya kawasan paya tanah rendah yang dinamakan Kaundungan yang juga merupakan aliran sungai kecil serta Sg.Putatan (asal) yang mengalir ke arah timur-timur-laut dari jambatan kayu. Kaundungan bermakna “air dalam” dan amat sesuai dengan keadaan Sg.Putatan (asal) pada masa itu. Kawasan paya Kaundungan ini juga banyak ditumbuhi pokok-pokok putat. Aliran Sg.Putatan (asal) ini kemudiannya membelok ke arah barat di penghujung tanah tinggi Sodomon pada grid GPS 5°54’14″N , 116°3’53″E.
Sodomon bermakna “tanah tinggi” tetapi orang-orang tua mengatakan kawasan ini agak sederhana sahaja tingginya yang tidak dilimpahi banjir jika berlaku hujan lebat. Mengikuti aliran Sg.Putatan (asal) berliku ke arah barat, kita akan sampai di tepian tanah tinggi Sodomon di grid GPS 5°54’17″N , 116°3’35″E  seterusnya membelok ke arah tepian tanah tinggi Sodomon di grid GPS 5°54’25″N , 116°3’23″E  dan sampai di sempadan Kampung Sindil (pada masa ini) di grid GPS 5°54’24″N , 116°3’7″E. Lokasi ini tidak jauh daripada rumah seorang bernama Imam Milin yang tinggal di Kampung Sindil.
Seterusnya, aliran Sg.Putatan (asal) menuju ke arah Bukit Pandan-Pandan melalui berdekatan rumah Halik Zaman pada grid GPS 5°54’26″N , 116°2’55″E dan ke arah Bukit Linsuk (sebelah barat-daya Bukit Pandan-Pandan) di mana sebuah lagi bekas lokasi jambatan kayu Linsuk di grid GPS 5°54’21″N , 116°2’45″E wujud menyeberangi Sg.Putatan (asal) pada masa lalu. Mengikut cerita orang-orang tua, jambatan kayu Linsuk inilah yang menghubungkan penduduk sebelah selatan Sg.Putatan (asal) yang hendak menuju ke Pekan Putatan (lokasi asalnya berdekatan sebelah timur-laut Bukit Pandan-Pandan iaitu di grid GPS 5°54’30″N , 116°2’47″E). Bukit Pandan-Pandan dan Bukit Linsuk hanyalah bersebelahan sahaja. Ada juga orang-orang tua mengatakan bahawa Bukit Pandan-Pandan dan Bukit Linsuk merupakan bukit yang sama. Cuma yang dinamakan Bukit Pandan-Pandan kerana suatu masa dulu tempat ini terdapat banyak pokok-pokok pandan.
Daripada jambatan kayu Linsuk ini, aliran Sg.Putatan (asal) menuju ke arah barat-daya sehingga liku terakhir di grid GPS 5°53’56″N , 116°2’19″E  sebelum ke kualanya di grid GPS 5°54’0″N , 116°2’5″E.
Seperti yang diceritakan dalam Putatan Kini, kuala Sg.Putatan (asal) ini pada dahulunya juga dikenali sebagai Kuala Sg.Dumpil. Sg.Putatan (asal) dan Sg.Dumpil juga ada kaitannya iaitu kedua-duanya adalah sungai yang sama ,juga dengan alirannya, sebagaimana berlakunya aliran yang sama untuk Sg.Moyog, Sg.Penampang dan Sg.Petagas daripada puncak Gunung Bongkok. Tidak jauh daripada tempat ini juga terletaknya Tanjung Dumpil yang amat dikenali sebagai lokasi cerapan melihat anak bulan Ramadan dan anak bulan Syawal. Di Tanjung Dumpil ini jugalah didirikan peralatan aras-tanda GPS Malaysia.
Peredaran zaman berlalu, kawasan tanah rendah Kaundungan yang berpaya akhirnya tiada mendapat aliran Sg.Putatan (asal) lalu menjadi sebuah kawasan yang sesuai untuk bersawah padi serta tempat mengembala kerbau. Memang terdapat kisah petani sawah yang menggunakan sampan untuk menuai padi bila kawasan Kaundungan dibanjiri.
Kawasan tanah tinggi Sodomon pula sehingga kini tidak ditanam padi kecuali yang bertepian dengan tanah rendah Kaundungan. Pokok-pokok putat hanya tinggal beberapa pokok sahaja sebagai kenangan asal-usul nama Pekan Putatan (asal). Yang menjadi ingatan sehingga kini ialah, apabila hujan terlalu lebat, kawasan Kaundungan akan dinaiki air dan kekadang melimpah hingga ke Sg.Putatan (mati).
Cerita sejarah lokasi asal aliran Sg.Putatan (asal) ini telah diperolehi daripada orang-orang tua yang berumur 80an ke atas dan yang telah meninggal dunia tetapi sempat menceritakan kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka. Sebagai panduan, seorang cucu tentunya sempat bertemu dengan datuknya, yang mana datuknya juga tentu dapat menceritakan apa yang telah diceritakan oleh datuknya juga. Dengan lain perkataan, cerita terdahulu sehingga 6 atau 7 generasi awal (atau ke belakang) yang akan membawa kita ke tahun lebih kurang 1700an.

Sejarah 2
 
PUTATAN adalah sebuah daerah yang dijadikan pusat pentadbiran dalam pemerintahan Inggeris di bawah North Borneo Chartered Company pada tahun 1884 setelah berada dibawah jajahan Kerajaan Kesultanan Brunei.
 
Pejabat Pentadbiran atau Residence Office pemerintahan Inggeris terletak di Kampung Lok Bonu  ditepi sungai Putatan.
 
Kedudukan daerah Putatan yang berada dekat dengan Pekan Api-Api (bandaraya Kota Kinabalu) menjadikan Putatan sebagai stesyen persinggahan kepada perusahaan getah dan bahan-bahan mentah seperti kayu dan bahan-bahan pembinaan bangunan yang dibawa dengan keretapi dari Tenom.
 
Barang-barang terutamanya kepingan getah dipunggah untuk diproses dikilang yang terletak bersebelahan Stesyen keretapi sebelum dibawa ke pelabuhan di Api-Api untuk diekspot ke luar negeri.
 
Atas sebab inilah Putatan dijadikan sebagai pusat pentadbiran oleh pemerintahan Inggeris untuk mengendalikan kawasan perindustrian berasaskan getah dan bahan-bahan mentah yang lain.
 
Sungai Putatan merupakan sebuah sungai yang menjadi nadi perhubungan penduduk daerah Putatan ketika itu. Selain daripada laluan utama para nelayan mencari rezeki ke laut, sungai Putatan yang bersambung dengan sungai Moyog dan Petagas juga menjadi laluan perahu kecil kepada mubaligh kristian untuk mudik ke Donggongon. Berdasarkan cerita lisan orang tua-tua di Kg. Ulu Putatan, Sungai ini juga menjadi laluan kepada Paduka Mat Salleh dan askar-askarnya bersembunyi di Kubu yang dibina di atas bukit kota (Memorial Tun Mustafa) di Kg. Ulu Putatan selepas menyerang Pulau Gaya sebelum menyusup keluar menuju  Inanam.
 
ASAL USUL

Putatan mendapat namanya daripada sejenis pokok yang digelar Pokok Putat yang tumbuh dengan banyak di sekitar daerah Putatan . Berdasarkan cerita lisan;  Putatan adalah sebuah pekan kecil yang dikenali sebagai 'Putat Town' oleh penjajah Inggeris.
Namun dii kalangan penduduk tempatan, 'Putat Town' dikenali sebagai Putatan atas sebab sebutan dalam dialek tempatan hinggalah ke hari ini. 
 
Walau bagaimanapun kesasihan tentang asal usul nama Putatan ini daripada gabungan Putat dan Tan masih dipertikaikan kerana nama Putatan telah ujud sebelum kedatangan pihak Inggeris pada tahun 1881 dan nama Putatan tercatat dalam sejarah pemerintahan Kesultanan Brunei.

SEJARAH PENTADBIRAN PUTATAN

Sebelum tahun 1884, Putatan adalah sebuah daerah jajahan Kesultanan Brunei tetapi pada 24 Mac 1884 Putatan telah diserahkan oleh Pengiran Muda Damit Tajuddin bin Pengiran Muda Hashim , wakil Kesultanan Brunei kepada William Hood Treacher, Gabenor British North Borneo Company.

Di bawah Pemerintahan North Borneo Chartered Company, Putatan telah ditadbir oleh:
 
NAMA PEGAWAI  TEMPOH PERKHIDMATAN 
A.H.Everrett  Bermula 28 Julai 1883
Hj. Ahmad Bulat  1892 - 1901 
OKK Kati  1901 - 1906 
Mr. Luther  1906 - 1906 
Mr. John 1906 - 1914 
Pg. Omar Pg.Salleh  1914 - 1929 
STATUS DAERAH
Ibarat Sirih Pulang ke Gagang,  Putatan mendapat status sebagai sebuah daerah penuh pada 01 Mac 2007 melalui warta kerajaan tambahan kedua jilid ixii bertarikh 30 Ogos 2007 setelah sekian lama berada di bawah pentadbiran daerah Penampang . Pada Tanggal 30 April 2011 Putatan secara rasminya diisytiharkan sebagai sebuah daerah dan perasmiannya disempurnakan oleh YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj. Aman, Ketua Menteri Sabah. Pentadbiran daerah Putatan beroperasi melalui bangunan urusetia kecil yang siap dibina dan diduduki pada bulan februari 2002 dan terletak di Pasir Putih Putatan, 1 km daripada Pekan Putatan.
Sebelum mencapai status daerah penuh, Putatan  diberi status daerah Kecil gred V dalam Daerah Penampang melalui warta Kerajaan Negeri Sabah yang berkuatkuasa pada 1hb Januari 1997. Dan pada 18 Mac 1997, Putatan secara rasminya diisytiharkan sebagai sebuah Daerah Kecil dan upacara perasmiannya telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah ke-9, Datuk Yong Teck Lee bertempat di Ruang Legar, Putatan Court Fasa II, Putatan. 


Untuk rekod sejarah, sempadan daerah Putatan telah melalui dua kali pengezatan apabila beberapa pemimpin dari daerah Penampang melalui Jawatankuasa Bertindak Persempadanan Daerah Penampang dan Putatan membantah persempadanan daerah yang pertama. Seluas 10 km persegi kawasan yang mengandungi 9 buah kampung telah dikeluarkan dari daerah Putatan.
 
Pada bulan Ogos 2010, Majlis Daerah Putatan telah ditubuhkan dan pengujudan PBT ini telah melengkapkan proses penubuhan Putatan sebagai sebuah daerah dalam tempoh sepuluh tahun setelah dipisakan dari daerah Penampang,
 
Encik Ag. Abdul Ghani Haji Pg. Yusoff telah diberi kepecayaan untuk menerajui pentadbiran daerah selaku  Pegawai Daerah dan Pengerusi Majlis Daerah Putatan yang pertama.
 
Sejarah 3 (Wikipedia)
 
Putatan merupakan sebuah daerah yang terletak di Bahagian Pantai Barat di negeri Sabah. Daerah ini terletak di antara daerah Penampang, Papar, dan Kota Kinabalu. Bermula 1 Mac 2007, Putatan telah dipisahkan daripada pentadbiran daerah Penampang untuk menjadi sebuah daerah penuh di Sabah.[1] Pada tahun berakhir 2007, populasi penduduk di Putatan dianggarkan seramai 85,454 orang.[2] INTI College Sabah telah membuka kampusnya di bandar Putatan. Kini bandar Putatan sedang mengalami peningkatan kemajuan dari segi pembangunan dan infrastruktur awam seperti sekolah, jalan raya, balai polis, pejabat pos, kedai, dan kawasan perumahan penduduk.

 
Sejarah 4 SEKILAS SEJARAH ISLAM DI PUTATAN
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

Keistimewaan Putatan satu ketika dahulu bukan semata-mata terletak pada kehijauan sawah padi atau pada anak anak bukit yang dikatakan indah itu. Ia bukan juga terletak pada banyaknya pokok-pokok kayu putat sehingga tempat itu mendapat namanya Putatan. Keistimewaan Putatan sebenarnya terletak pada kedudukannya yang amat strategik sebagai pelabuhan dan tempat persinggahan tongkang-tongkang dan perahu layar yang datangnya dari berbagai tempat di seluruh nusantara seperti Kepulauan Sulu, Kalimantan, Semenanjung Tanah Melayu, Sarawak, Brunei, Singapura dan lain-lain.

"Sungai yang mengalir dari Moyog melalui Kampung Tarawi hinggalah ke muara sungainya di Tanjung Dumpil, ianya disebut Sungai Putatan yang dahulunya memang terkenal sebagai pelabuhan dan persinggahan kapal," tulis Datuk Haji Awang Sahari Abd.Latiff (kini Allahyarham) dalam kertas kerjanya bertajuk "Sejarah Gerakan Islam dan Perjuangan Ulama di daerah Putatan"

Putatan adalah suatu tempat yang bukan saja menjadi tempat persinggahan para peniaga dan pengembara, malah menurut tokoh pendakwah ini, ramai di antara peniaga dan pengembara itu tertarik dengan gadis-gadis tempatan lalu berkahwin dengan mereka.

Mereka terus bermastautin turun temurun di Putatan sehingga ke hari ini. "Di antara peniaga yang datang pada abad ke-19 itu, terdapat mereka yang memiliki sedikit sebanyak ilmu asas-asas agama seperti mengaji muqaddam al-Quran, kitab perukunan, berzanji dan apa saja ilmu agama yang ada pada mereka lalu diperturunkan pada orang-orang tempatan," kata Allayharham yang juga merupakan Tokoh Maal Hijrah 2003 ini.

Menurut beliau, para peniaga dan pengembara ini menjadikan diri mereka sebagai aktivis agama dengan mengajar atau menjadi guru sukarela dan tidak berdaftar di rumah masing-masing, di masjid-masjid dan juga secara sukarela bergilir-gilir menjadi imam masyarakat dan imam rawatib di masjid.

Antara yang disebut-sebut sebagai aktivis agama secara sukarela itu ialah Imam Haji Ismail Nakhoda Ibrahim yang berasal dari Sibu Sarawak dan Imam Haji Ahmad Buntal yang berasal dari Melaka.

"Imam Haji Ismail bin Nakhoda Ibrahim berasal dari Sibu. Pada mulanya beliau berkahwin dengan gadis tempatan dan terus menetap dan bermastautin di Putatan. Beliau telah mewakafkan sebidang tanahnya sebagai tapak masjid di Kampung Teguli, Putatan./Beliau juga telah berusaha mendatangkan dua batang tiang berukir indah dari Sarawak melalui jalan laut pada masa itu. Tiang yang berukir indah itu masih ada sehingga ke hari ini di bangunan masjid lama," tulisnya.

"Sementara itu, Haji Ahmad Buntal berasal dari Melaka dan berkahwin dengan gadis tempatan dari Tuaran. Cucu cicitnya masih ramai yang bermastautin di Putatan ketika ini. Mulanya, Haji Ahmad berkhidmat sebagai salah seorang pegawai pentadbir di Pejabat Daerah Putatan yang terletak Kampung Lok Bunu ketika itu di antara tahun 1892 hingga 1901.

Setelah berkhidmat selama sembilan tahun, beliau terus melibatkan diri dalam apa jua kerja amal berkaitan agama Islam, tulisnya.

Bagaimanapun, pada awal abad ke-20, masyarakat Putatan mulai sedar betapa perlunya pelajaran dan pengajian agama Islam terus diperkembangkan.

"Bermula dari kesedaran tersebut, maka bangkitlah aktivis-aktivis agama yang lainnya sebagai pernyambung tenaga aktivis awal seperti Imam Awang Salleh berasal dari Banjar, Imam Haji Taip juga berasal dari Banjar,Imam Jalil bin Lamit orang tempatan, Imam Haji Dahlan berasal dari Riau, Imam Haji Gadur berasal dari Riau, Imam Haji Shukur berasal dari Banjar, Imam Siso berasal dari Kelantan dan Imam Haji Momin, orang tempatan," .
Disamping menjadi guru kepada anak-anak di sekeliling rumah dan menjadi imam rawatib di masjid secara bergilir-gilir.

Namun demikian, Imam Haji Momin, tidak berpuas hati sekiranya masyarakat Islam di Putatan dibiarkan berterusan begitu saja tanpa sebarang usaha untuk mencari imam yang benar-benar berkermampuan menangani masalah agama di Putatan.

"Oleh yang demikian, beliau telah dipilih sebagai mewakili masyarakatnya mengunjungi Haji Yaakub bin Ali yang ketika itu, berada di Brunei untuk menjadi imam di Putatan, Alhamdulillah setelah hasrat itu disampaikan kepadanya, ia mendapat respons yang baik daripada Haji Yaakub.

Kemudian, Haji Yaakub Haji Ali, yang berasal dari Kampung Chetok Pasir Mas Kelantan dilantik menjadi imam berdaftar di Putatan dari tahun 1914 hingga 1930.

Selepas itu, Imam Jilun bin Jilang pula dilantik sebagai Imam bermula dari tahun 1930 hingga 1934. Pada tahun 1934, Imam Abd.Latif Mohd. Taha berasal dari Brunei dilantik sebagai imam Putatan bagi menggantikan tempat Imam Jilun bermula dari 1 April 1934 hingga 11 Oktober 1934. Bagaimanapun, Imam Abd.Latiff kemudian dilantik sebagai imam di Tuaran dan tempatnya, diambil alih oleh Imam Suhaili Haji Yaakub pada 12 Oktober 1934 hingga 11 Februari 1940.

Imam Ahmad Mus Haji Ismail yang merupakan murid Haji Yaakub dan Imam Suhaili telah dilantik sebagai imam Putatan bermula dari tahun 1940 hingga tahun 1953.

Dalam tahun 1953 sehingga 1961, berlaku sedikit insiden berhubung dengan masalah kepimpinan di daerah tersebut sehingga menjadikan pengajian agama Islam tergendala seketika dan kurang mendapat bimbingan. Maka mulai dari peristiwa itulah jawatan imam saling bertukar ganti.

Antara mereka yang bertukar ganti dalam insiden itu ialah Imam Milin bin Jeratil,. Imam Harun bin Pakir, Imam Mohd. Said bin Hashim dan Imam Satur. Peristiwa itu berklarutan sehingga ke tahun 1961 apabila imam Satur berhenti dari jawatan imam Putatan dan telah digantikan oleh Imam Milin Jeratil hingga kini.

Imam Milin bin Jeratil telah dilantik menjadi imam Putatan bermula dari tahun 1961 hingga pertengahan lama berkhidmat dalam sejarah daerah Putatan.

Bermula dari tahun 1950, Agama Islam di Putatan dan sekitarnya terus berkembang. Jumlah masjid dan surau terus bertambah kepada 13 buah.

Dalam pada itu, menurut Haji Awang Sahari, semangat berpersatuan mula timbul pada tahun 1958 apabila Persatuan Islam Putatan ditubuhkan pada 25 Oktober tahun itu.Oleh kerana kedudukan Putatan tidak begitu jauh dari Jesselton (kota Kinabalu) iaitu kurang 13 km sahaja, walaupun ketika itu jalan perhubungan hanyalah menggunakan landasan keretapi tetapi Putatan boleh dianggap memiliki masyarakat yang berpendidikan.Oleh yang demikian, berbagai kegiatan dilaksanakan demi untuk menyesuaikan kedudukan masyarakat Islam di Putatan supaya terus maju dan tidak ketinggalan zaman.

"Apa yang ada pada pemikiran pemuda Islam Putatan pada masa itu diantaranya ialah bagaimana mengwujudkan sebuah sekolah agama Islam di Putatan supaya anak-anak mereka dapat belajar melalui sistem sekolah moden," tulisnya.

Ekoran daripada itu, pada 25 Oktober 1959, satu mesyuarat diadakan di Masjid Jamek Kampung Teguli Putatan dan dihadiri oleh lebih dari 100 orang dari seluruh kampung di sekitar daerah itu. Mesyuarat itu telah dipengerusikan sendiri oleh Awang Sahari Abd.Latiff dan dibantu oleh Mohd.Jad Pandikar. Hasil persetujuan dalam mesyuarat itu maka mereka bersetuju mewujudkan Persatuan Islam Putatan (PIP).

Mesyuarat telah memilih seramai 21 orang jawatankuasa yang terdiri daripada N.C. Asai bin Ghani (Pengerusi), Mohd.Salleh Everwein (Naib Pengerusi) Sahari Abd.Latiff (Setiausaha) Mohd.Zain Simamah (Penolong Setiausaha),Imam Harun bin Pakir(Bendahari) manakala ahli jawatankuasa terdiri daripada Mahali Abu Bakar, OT Ismail Rajab, OT Ag.Jaya, Pg.Abd.Razak Pg.Ahmad, Haji Omar bin Japar, OT Arshet Ghani, OT Wahid Sulai, Pg.Abd.Wahab Pg. Ahmad. Mandor Minoh. OT Serati. Feruz Mahmun Miralan dan Mohd Seh Stapa. Imam Jalil dilantik sebagai penasihat 1 dan Imam Ahmad Mus dilantik penasihat 2 manakala Hamzah Mohd.Amin dan Mohd.Zain Simamah dilantik sebagai pemeriksa kira-kira.

Apabila persatuan Islam sudah wujud, maka agenda utama yang diusahakan ialah membangunkan sekolah agama rakyat yang diberi nama Madrasah Tahzibiah. AJK yang dilantik ialah Mohd.Jad Pandikar (Pengerusi) Madiah Haji Ahmad Mus (Naib Pengerusi), Mohd.Said Hashim (Bendahari) Mohd.Zaini Sani (Setiausaha) dan jawatankuasa terdiri daripada Sahari Abd.Latif, Ahmad Mus Haji Ismail, Suin bin Adul dan Hamzah Mohd.Amin.

Bangunan madarash tersebut telah mula didirikan pada awal tahun 1964 namun ia belum dapat digunakan sepenuhnya sebagai sekolah agama sebagaimana yang dicita-citakan kerana belum siap sepenuhnya dan belum mendapat permit kebenaran dari pihak berkuasa. Oleh yang demikian, bangunan sekolah itu telah digunakan sementara untuk mengajar kelas dewasa dan tenaga pengajarnya Cikgu Mohd.Din Sulai. Walaupun kelas pengajian agama tidak dapat dilaksanakan dengan segera tetapi persiapan perabot sekolah seperti kerusi, meja dan lain-lain telah dapat diadakan.

Pada awal 1966 sekolah agama tersebut telah beroperasi dengan bilangan muridnya seramai 140 orang. Guru pertama yang mengajar di sekolah itu ialah Ustazah Azizah Mohamad dan adiknya Hayatun Mohammad berasal dari Kg.Lalang, Padang Rengas Perak.

Madrasah Tahzibiah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun pada 27 November 1966. Pada masa itu madrasah ini dipengerusikan Mohd.Din Sulai.

Pada tahun 1971, Madrasah Tahzibiah telah ditukar menjadi Sekolah Agama Islam dan pentadbirannya telah dipindah daripada Badan Persekolahan PIP kepada Jabatan Pendidikan Islam,. Majlis Ugama Islam Sabah. 
 
Sejarah 5 : Buah Putat
 
Buah putat mercu tanda Putatan
KOTA KINABALU 3 Okt. - Kerajaan negeri diminta mempertimbangkan cadangan menjadikan buah putat sebagai mercu tanda daerah Putatan.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Putatan, Mustaman Ahmad berkata, cadangan itu wajar memandangkan buah berkenaan memberi erti yang besar kepada kewujudan daerah Putatan.
"Seperti daerah-daerah lain di negeri ini yang mempunyai mercu tanda seperti Beaufort dengan buah limau dan Kota Belud dengan kuda begitu jugalah seharusnya Putatan.
"Jadi buah putat bersesuaian sebagai mercu tanda Putatan kerana asal usul Putatan mendapat namanya daripada sejenis pokok yang digelar putat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, satu mercu tanda khas perlu diwujudkan selari dengan kepesatan pembangunan daerah itu pada masa ini.
Katanya, ia penting bagi memastikan generasi muda di daerah itu mengetahui sejarah Putatan.
Tambahnya, Putatan yang menjadi laluan utama ke Kota Kinabalu juga harus mempunyai satu mercu tanda yang akan diingati oleh pelancong asing dan tempatan.
Sementara itu, Mustaman berkata, pelbagai program akan diadakan sempena program Juara Rakyat Putatan yang akan diadakan di Dewan Serbaguna Putatan pada 9 Oktober ini.
 

No comments:

Post a Comment